Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Hamzi Faiz Muhamad (MUIP)
KUANTAN, 2 SEPTEMBER 2024 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang sebanyak RM98,600 kepada 42 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian masing-masing ke universiti di Jordan dan Mesir.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain berkata, sumbangan ini diberikan untuk membantu meringankan bebanan keluarga yang menampung kos pengajian anak-anak yang berjihad di negara luar.
“Sumbangan ini disalurkan sebagai sokongan kepada anak-anak yang menuntut ilmu supaya mereka mampu dan dapat meringankan bebanan ibu bapa semasa mereka belajar,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Yang Melanjutkan Pengajian Ke Mesir Dan Jordan Tahun 2024 yang diadakan di Aqua Crystal Hall, Universiti UCYP Tanjung Lumpur, Kuantan, petang tadi.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz, Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), YH. Profesor Dato’ Dr. Haji Zawavi Zainal Abidin, Ketua Eksekutif Kolej Yayasan Pahang (KYP), YBhg. Puan Ainul Hayati Yunus dan Timbalan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dan Wakaf Pahang, YBhg. Tuan Haji Che Samsol Ibrahim.
Pada majlis itu seramai 42 pelajar di mana 20 pelajar dari KYP, 15 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan tujuh pelajar dari UnIPSAS telah menerima sumbangan wang saku dan tiket penerbangan.
Pelajar-pelajar dari UnIPSAS dan SMAN akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir manakala pelajar dari KYP pula akan menyambung pengajian di Universiti Yarmouk, Jordan di bawah pelan pengajian KYP.-PAHANGMEDIA

