Oleh : S.Prathap
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 2 SEPTEMBER 2024 : Seorang pelajar dari Universiti Putra Malaysia melahirkan rasa gembira kerana dipilih untuk menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa daripada Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Wan Khairul Nina Najwa Wan Roslan, bantuan BPP ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan untuk membayar yuran semester.

“Dikesempatan ini, saya nak ucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana bagi Bantuan Prihatin Pahang ini kepada mahasiswa-mahasiswa Pahang,” katanya.
Bagi penerima BPP Kluster Ibu Tunggal Puan Zahidah dari Pelangai, bantuan ini akan membantu untuk menyara keluarga.

“Saya berharap Kerajaan Negeri Pahang akan mengekalkan lagi bantuan-bantuan sebegini untuk rakyat- rakyat negeri yang terkesan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan Exco-Exco kerajaan negeri yang sentiasa membantu,” katanya.
Majlis Penyampaian BPP Kluster Siswa dan Kluster Ibu Tunggal peringkat DUN Pelangai diadakan di Dewan Semai Bakti FELDA Ke Kemasul Bentong yang dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam.
Seramai 189 orang ibu Tunggal dan 89 orang Siswa telah menerima BPP dengan jumlah nilai keseluruhan RM110,000. Dalam majlis yang sama, seramai 24 orang dari DUN Pelangai menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang.
Hadir sama dalam majlis penyerahan ini Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik Negeri Pahang, YH Dato’ Haji Wan Salman Bin Wan Ismail; Pegawai Daerah Bentong, YH Dato’ Mohammad Shahid Bin Ismail; dan Presiden Majlis Mahasiswa Pahang (MAMPAN), Encik Aidid Fadhullah Bin Abdul Sukor.- PAHANGMEDIA

