Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OGOS 2024 : Sebanyak 5,520 biji kek cawan berbentuk bendera Malaysia akan dijual dalam program jualan amal bagi didermakan kepada tabung Pahang4Palestin anjuran Kerajaan Negeri Pahang.
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pahang, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata jualan amal dengan kerjasama Kuantan Sweet Bakers, Pasar Sera, dan YP Advanced Skills ini juga menjadi medan para pembuat kek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.
“Cupcake tersebut adalah projek Yayasan Pahang bersama Kuantan Sweet Bakers, dan YP Advanced Skills yang mana mereka telah buat 5,520 cupcake yang keluasannya 24×10 untuk dijual kepada pengunjung.
“Dengan harga satu kotak RM10 mengandungi enam biji cupcake yang mana hasil jualan itu akan disalurkan kepada tabung Pahang4Palaestine,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pasar Sera Merdeka @ Rumah Pahang, Perkarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur.
Tambah beliau jualan amal seperti ini juga dicadangkan diteruskan pada tahun hadapan dengan menyasarkan lebih banyak penyertaan daripada pembuat kek di Pahang.
“Mungkin tahun depan kena besarkan lagi (jumlah kek cawan) dan kita boleh memecahkan Malaysia Books of Record, kita buat lagi besar dari yang sekarang ini, mungkin kita boleh gandakan lagi.
“Dan kita juga boleh perluaskan lagi macam tadi dengan komuniti bakers Kuantan, mungkin lepas ini kita boleh ajak komuniti bakers ini untuk bersama-sama kita, dari Jerantut, Raub.
“Jadi sekurang-kurangnya kita dapat mengumpulkan komuniti bakers ini untuk sama-sama buat program amal macam sekarang ini,” katanya.
Seramai 32 pembuat kek telah menyertai pembuatan kek cawan bagi jualan amal ini dengan 22 daripadanya adalah dari Kuantan Sweet Bakers dan 10 lagi daripada YP Advanced Skills. -PAHANGMEDIA

