Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 01 SEPTEMBER 2024 : Program Karnival Makmur menjadi salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam mendekati rakyat di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program yang pertama kali diadakan tahun ini juga membawa agensi kerajaan ke kawasan bagi memudahkan rakyat.

“Program ini kita adakan di setiap daerah dan ini adalah salah satu cara kita mendekati rakyat dengan mengadakan program-program riadah.
“Di samping sukan, kita ada program-program lain, kita mempromosikan juga juadah tempatan, makanan tempatan, serta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan seperti bomba, AADK, pertanian.
“Ini supaya rakyat boleh melihat dengan lebih dekat. Ini merupakan tahun pertama kita laksanakan dan kita akan teruskan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Makmur Pahang Peringkat Daerah Raub di Taman Tasik Raub.
Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan; dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

Tambah beliau program yang sama ini akan diteruskan dengan mengambil kira pembaharuan dan perubahan yang diperlukan oleh rakyat bagi menarik masyarakat setempat untuk turut serta.
Sementara itu, mengulas mengenai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu hadapan, beliau berkata sidang akan menyaksikan angkat sumpah lima ahli DUN lantikan selain sedikit pembentangan bajet.-PAHANGMEDIA

