Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 21 OGOS 2024 : Perasaan bangga apabila berjaya merekodkan tiga rekod baharu bagi sukan menembak bersempena SUKMA Sarawak 2024 memberikan keyakinan kepada penembak muda, Cheah Zen Hong, 18, untuk terus membawa nama Pahang ke persada antarabangsa.
Minat Cheah Zen Hong yang mesra disapa Zen terhadap sukan menembak bermula seawal usia 12 tahun apabila secara tidak sengaja ingin mencuba sukan itu yang dianggap hebat di mata seorang kanak-kanak ketika itu.
Berkat kesungguhan dan keinginannya untuk menjadi seperti penembak-penembak senior memberikan keazaman kepada Zen untuk meneruskan sukan itu secara lebih serius lagi.
Kini, namanya tercatat sebagai pemegang dua rekod baharu dalam sukan menembak pada temasya SUKMA Sarawak 2024 yang sedang berlangsung di Bumi Kenyalang itu.

“Saya berasa sangat gembira kerana rekod itu masih Pahang yang pegang sebab dua-dua rekod (rekod sebelum ini) masih Pahang punya tetapi cuma tukar nama sahaja (rekod baru) tetapi negeri tetap sama, jadi saya rasa banggalah, bangga sebab nama Pahang masih ada pada rekod (pemegang rekod),” katanya.
Zen yang berasal dari Kuantan, pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (SABS) Kuantan sebelum menyertai pasukan kebangsaan dan bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil demi meneruskan cita-cita untuk menjadi penembak hebat negara mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik.
“Saya harap sangat untuk jadi Olimpian, satu impian saya hendak pergi Olimpik, untuk bertemu dengan jaguh-jaguh dunia, jadi saya sasarkan LA 2028, saya ada empat tahun lagi untuk cuba meningkatkan lagi (kemahiran menembak),” katanya.
Kehebatan luar biasa Zen diinspirasikan oleh penembak negara Guanjie Johnathan Wong dan penembak antarabangsa dari Serbia, Damir Mikec yang baru sahaja memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris.
Zen yang merupakan anak tunggal telah menyertai empat acara bagi sukan menembak pada SUKMA Sarawak 2024 dengan berjaya menyumbangkan sebanyak tujuh pingat emas bagi kesemua pertandingan yang disertainya.
Pada SUKMA Sarawak kali ini, Zen menyertai acara 25 meter Sport Pistol, 10 meter Air Pistol, 25 meter Standard Pistol dan 10 meter Mixde Air Pistol. – PAHANGMEDIA

