KUANTAN, 20 OGOS 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, kebanjiran kes jenayah dan masalah sosial mutakhir ini mampu dibantu dengan usaha proaktif pihak masjid.
Baginda dalam titah mengingatkan agar semua pihak berusaha mengimarahkan masjid dan menjadikannya sebagai tempat umat Islam berkumpul untuk membina hubungan erat antara manusia dengan Allah dan juga memperkukuh hubungan sesama manusia.
“Saya ingin mengingatkan semua agar jangan sesekali membiarkan rumah Allah menjadi tempat untuk mencerca sesama umat, bertelagah mahupun menjadi gelanggang politik.
“Saya juga ingin mengingatkan umat Islam khususnya di negeri ini agar sentiasa memperdalam ilmu agama yang sahih, selari dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sekiranya ada keraguan atau kekeliruan, jangan segan untuk rujuk kepada pihak berkuasa agama seperti Mufti, JAIP dan MUIP. Jangan pula rujuk ustaz ustazah Facebook dan Tiktok,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Al-Falah di Perkampungan Sungai Isap 2 serta majlis doa selamat sempena Istiadat Perkahwinan Diraja anakanda Paduka Baginda, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan dan FD Idzham FD Iskandar.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, baginda dalam titah turut menyentuh kehidupan mutakhir yang sering disajikan dengan pelbagai kepincangan dalam masyarakat seperti kes pembunuhan tragik, jenayah seksual, isu najis dadah, buli siber dan penyalahgunaan kuasa rasuah yang tiada kesudahan.
“Semua ini menunjukkan betapa parahnya penyakit sosial akhir zaman.
“Saya harap masjid mampu menjadi ejen kesejahteraan dan kesedaran kesihatan yang berpanjangan. Buka ruang dan peluang untuk masyarakat rasa selesa dan disenangi apabila datang ke masjid ini,” titah baginda.
Sementara itu dalam titah sama, Paduka Baginda turut sebak ketika meminta seluruh rakyat negeri mendoakan agar Istiadat Perkahwinan Diraja anakanda Paduka Baginda, YAM Tengku Puteri Afzan dan pasangannya, FD Izham yang akan berlangsung tidak lama lagi berjalan dengan lancar.
“Semoga majlis yang akan diadakan ini berjalan lancar, penuh keberkatan dan diredhai Allah SWT serta ikatan perkahwinan yang bakal terbina ini akan kekal hingga ke jannah,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

