Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 OGOS 2024 : Pahang bakal menjadi satu kuasa baharu dalam industri Maritim negara melalui pembinaan projek Kuantan Maritime Hub yang merupakan hub pertama seumpamanya di negara ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan hub diatas tanah gunasemula seluas 202.34 hektar ini akan mewujudkan sebuah ekosistem yang mantap dan kukuh di negeri ini.
“Projek ini akan menjadi pusat utama dalam bidang maritim, menyokong pelbagai aktiviti perdagangan dan industri yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi tempatan dan negara.
“Pada hemat saya, dengan adanya Hub Maritim ini, peluang-peluang perkembangan untuk pemain-pemain industri yang terlibat dalam industri ini, akan meningkat secara signifikan.
“Eco-sistem yang akan terbentuk ini dapat memperkukuhkan kedudukan Negeri Pahang sebagai sebuah negeri yang mempunyai industri yang berimpak tinggi dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kuantan Maritime Hub di Mukim Sg. Karang, Daerah Kecil Gebeng hari ini.
Turut hadir, Yang DiPertua Speaker Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Mohd Shakar Shamsuddin; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Indera Nazri Abu Bakar; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengarah Urusan Muhibbah Engineering (M) Bhd, Encik Mac Ngan Boon; dan Pengarah Eksekutif Muhibbah Engineering (M) Bhd, Encik Mac Chung Jin.
Beliau berkata projek yang bakal dijalankan dalam tempoh 10 tahun dengan empat fasa yang berorientasikan industri maritim ini juga akan membina sebuah limbungan kapal bertaraf dunia melibatkan kos berjumlah RM2 bilion.

“Saya dimaklumkan projek ini akan melibatkan beberapa komponen pembangunan seperti pusat pembinaan dan penyelenggaraan kapal, pusat pembinaan struktur khusus untuk minyak dan gas, industri latihan teknikal, pusat industri maritim serta pembangunan hartanah bercampur.
“Saya percaya, menerusi projek ini, ia akan menarik minat golongan pelabur untuk membangunkan kilang-kilang dan kemudahan-kemudahan untuk industri berkaitan, selain mewujudkan kira-kira 17,000 peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.
“Hasrat Kerajaan Negeri untuk menarik pelabur-pelabur tempatan untuk membantu merealisasikan visi Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan, memperbagaikan dan memperkukuhkan pembanguan industri berimpak tinggi dengan menggunakan teknologi baru dan terkini, akan dapat dicapai dengan adanya Projek Kuantan Maritime Hub ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

