Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 20 OGOS 2024 : Pahang menerima sambutan yang sangat baik daripada Sarawak apabila seringkali dilaungkan ungkapan ‘cousin’ yang menjadikan hubungan dua negeri itu sangat mesra.
Pengarah MSP, YBrs. Tuan Haji Zamri Hassan berkata, sambutan luar biasa yang diterima terutama ketika majlis Perasmian SUKMA baru-baru ini memberikan gambaran baik terhadap hubungan dua negeri yang diharapkan dapat berterusan pada masa akan datang.
“Sambutan memang sangat menggalakkan daripada orang Sarawak, mana-mana kita pergi pun memang kita dipanggil ‘cousin’ dan kalau kita tengok semasa perasmian hari tu, memang sorakan agak besar untuk pasukan Pahang, seperti biasa memang jeritan ‘cousin’ tu memang sangat terdengar di mana-mana sahaja.
“Jadi kita harapkan ukhwah, silaturrahim yang terjalin ini dapat diteruskan dan sukan ini dapat memupuk silaturrahim antara kita semua,” katanya ketika ditemui menyaksikan acara akuatik di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, di Kuching, Sarawak.
Hadir sama ialah Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, YBhg. Encik Izad Zainal Muhammad Saffian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pencapaian atlet Pahang kini semakin baik selepas berjaya menyesuaikan diri masing-masing di Bumi Kenyalang sekaligus diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan sasaran pingat emas.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.-PAHANGMEDIA

