Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 20 OGOS 2024 : Majlis Sukan Pahang (MSP) berjaya mengatasi segala cabaran dan kesukaran oleh kontinjen Pahang ketika berada di Bumi Kenyalang Sarawak bagi Temasya SUKMA Sarawak 2024 dengan baik.
Pengarah MSP, YBrs. Tuan Haji Zamri Hassan berkata, perubahan lokasi dan persekitaran memberikan pelbagai cabaran kepada atlet dan jurulatih untuk menyesuaikan diri agar tidak mengganggu prestasi persembahan ketika perlawanan.
Menurutnya, kesukaran membabitkan penginapan, pengangkutan dan rawatan perubatan berjaya diatasi dengan baik bagi memastikan kebajikan atlet, jurulatih dan semua pihak kontinjen Pahang terjaga.
“Mungkin ada sedikit cabaranlah pada hari pertama apabila atlet wanita terpaksa berpindah (penginapan) sebanyak empat kali, walau bagaimanapun ia tidak menganggu ‘performance’ atlet, lain-lain cabaran tu adalah sedikit pengangkutan dan semua itu sudah dapat diselesaikan setelah kita bincang dalam mesyuarat ketua kontinjen bersama sekretariat dan sehingga hari ini segalanya berjalan dengan baik.
“Semua tu (kecederaan), Alhamdulillah kita dapat selesaikan dengan klinik-klinik statik yang disediakan oleh pihak sekretariat dan juga dari segi kecederaan biasa tu kita ‘cover’ (rawat) dengan fisio yang dibawa khas oleh Majlis Sukan Pahang sendiri,” katanya ketika ditemui menyaksikan acara akuatik di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, di Kuching, Sarawak.
Hadir sama ialah Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, YBhg. Encik Izad Zainal Muhammad Saffian.
Tuan Haji Zamri berkata, kecederaan di kalangan atlet sudah dijangka terutama bagi sukan tempur, futsal dan bola sepak apabila langkah pencegahan awal telah diambil dengan peralatan rawatan mencukupi dan pegawai perubatan terlatih dibawa bersama bagi mengatasi sebarang masalah.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.-PAHANGMEDIA

