Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan (MSP)
KUCHING, 17 OGOS 2024 : Pasukan menembak Pahang akhirnya berjaya merangkul dua pingat emas dan dua gangsa bagi kontinjen Negeri Pahang.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob berkata, kejayaan ini bagaikan membuka pintu bagi kemenangan seterusnya untuk mencapai sasaran 40 pingat emas pada Temasya SUKMA Sarawak XXI kali ini.
Jelasnya, pencapaian baik ini merupakan hasrat Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Pahang dalam mengharumkan nama negeri pada acara sukan di SUKMA Sarawak yang dianjurkan di luar Pahang.
“Kita menunggu selama empat hari untuk dapatkan pingat emas yang pertama jadi hari ini kita bukan sahaja menang pingat emas yang pertama tetapi dua pingat emas daripada acara menembak ‘air rifle’, memang kita duga.
“Memang harapan daripada Kerajaan Negeri, daripada YAB Menteri Besar sendiri dan saya fikir daripada seluruh rakyat Negeri Pahang yang kita hendak mencatatkan pungutan pingat paling banyak di luar Pahang untuk sukan di Sarawak ini dan sudah tentulah sukan menembak akan membantu kita untuk mencapai cita-cita ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pingat kepada para pemenang acara menembak di Lapang Sasar Menembak Petra Jaya di Kuching, Sarawak, petang tadi.
Turut menyampaikan pingat ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Pengarah Majlis Sukan Pahang, YBrs Tuan Haji Zamri Hassan.
Cheah Zen Hong merupakan penyumbang pingat emas bagi acara menembak individu dan turut menyumbang emas bagi kategori berkumpulan bersama Riky Mohamad Yasin Pakriudin dan Azrul Akmal Zulkefli.
Manakala, Muhammad Iman Syahmi, Hairiz Haiqal Ramlan dan Muhammad Fikhri Hafiy pula menyumbang pingat gangsa bagi acara 10 meter air rifle berkumpulan.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

