Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 OGOS 2024 : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan mengadakan siaran secara langsung bermula sidang Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga pada September ini.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata ini selari dengan persetujuan oleh Kerajaan Negeri Pahang pada sidang DUN sebelum ini.
“Seperti yang telah kita janjikan bahawa mulai persidangan ini kita akan mengadakan siaran langsung yang bermula pada 9.30 pagi. Dan akan ada live bermula sidang ini.
“Jadi sekarang ini kita buat bermula sidang DUN ini secara live (langsung). Tak akan ada lagi orang pertikaikan sama ada kita takut atau tidak. Ini kerana sidang dewan ini merupakan dewan yang neutral, ia tidak memihak kepada mana-mana.
“Kita buat kerana kita rasa ia penting untuk rakyat supaya rakyat boleh mendengar dan melihat bagaimana ahli-ahli Dewan Negeri mereka berbahas dan berbincang dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah bercadang mengadakan siaran secara langsung ini telah bermula pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang namun menerima provokasi daripada pihak pembangkang.
“Dulu kita nak buat tapi tiba-tiba ada parti daripada PN dia seolah-olah mencabar kita cakap kita takut dan sebagainya. Kita nak buat, biar ikut kerajaanlah, tak perlu kita provokasi,” katanya.
Tambah beliau lagi, sidang DUN pada September ini juga akan menyaksikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang diumumkan pada sidang sebelum ini mengangkat sumpah sebagai ADUN.-PAHANGMEDIA

