Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 26 JULAI 2024 : Karnival Persatuan Sukan Dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) dapat menyediakan platform bagi mengeratkan hubungan antara warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) serta Anggota Kumpulan Sokongan (AKS).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pertandingan boling yang diadakan sempena karnival itu mampu membina hubungan yang baik selain dapat disertai oleh semua peringkat umur sama ada lelaki mahu pun wanita.

“Program macam ini memang sangat baiklah diadakan yang mana boleh merapatkan lagi hubungan antara guru-guru dan juga masyarakat khususnya kepada YDP PIBG.
“Aktiviti ini juga dapat menjadikan kita lebih sihat dan aktif sekaligus dapat membawa kecemerlangan dalam bidang pendidikan di peringkat sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) anjuran Persatuan Guru Besar Malaysia Zon Pantai yang diadakan di Premium Lanes Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, YBrs Tuan Haji Azmi Rashid dan Pengerusi PGBM Zon Pantai, Encik Shaari Hassan.
Pertandingan boling itu telah disertai lapan sekolah dari Zon Pantai di Pekan melibatkan warga pendidik, ibu bapa dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Pekan seramai 74 peserta. – PAHANGMEDIA

