KUANTAN 26 JULAI 2024 : Pembinaan 37 buah masjid di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun membuktikan Kerajaan Pahang sangat menitikberatkan pembangunan Islam di Pahang.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kerajaan Pahang sentiasa bersungguh-sungguh untuk memastikan Agama Islam terus dimartabatkan di Pahang.

“Sebenarnya dalam tempoh 5 tahun ini Kerajaan Negeri Pahang dibawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail membina 37 buah masjid di seluruh Pahang. Sama ada melalui peruntukan persekutuan mahupun negeri. 18 buah masjid telah selesai dibina dan diguna. Manakala 15 buah lagi dalam pembinaan.
“Malah Kerajaan Pahang juga telah membentang 12 RUU membabitkan Agama Islam di Dewan Negeri Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Bina Baharu Masjid Al-Falah Sungai Isap 2 di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah JAIP, Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz.
Beliau dalam masa yang sama turut berterima kasih kepada kontraktor yang berjaya menyiapkan masjid berkenaan sebelum tarikh akhir perlu disiapkan iaitu pada Oktober ini.
“Kerajaan Negeri Pahang telah memetapkan peruntukan siling sebanyak RM10.5 Juta untuk pembinaan masjid ini, namun ia berjaya disiapkan dengan Kos RM9,584,454, ” katanya. – PAHANGMEDIA

