Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUALA LUMPUR, 26 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) telah menandatangani perjanjian kerjasama (MoU) dan menerima dua Surat Penerimaan melibatkan enam agensi hari ini.
Dua MoU yang ditandatangani adalah melibatkan KotaSAS Sdn Bhd iaitu bersama Asian Pac Holdings Berhad mengenai Kerjasama Komersial Pembangunan di Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), dan juga MoU bernilai RM55 juta bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengenai Pembangunan Kemudahan Infrastruktur Utiliti untuk Bekalan Air Peruntukan dalam Pembangunan Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS).
Manakala MoU ketiga melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) bersama Nextgreen Global Berhad mengenai Taman Teknologi Hijau pada keluasan 1,048.159 hektar (2,590 ekar) tanah kerajaan di Paloh Hinai, Mukim Lepar, Daerah Pekan, Pahang.

PSK turut menandatangani MoU di antara Straits Incorporated Private Limited dan Muhibbah Engineering (M) Bhd mengenai Pembangunan Kitaran Gabungan 1440 MW Loji Tenaga Turbin Gas (CCGT) di Gebeng,
Pahang bernilai RM6.3 bilion.
Dalam majlis sama, PSK turut menerima Surat Penerimaan (Acceptance Letter) di antara KotaSAS Sdn Bhd dan GSPARX Sdn Bhd di atas Kerjasama Tenaga Boleh Diperbaharui, Penyelesaian Teknologi Suria di Kotasas Township Development, serta di antara KotaSAS Sdn Bhd dan TM Technology Services Sdn Bhd mengenai Perkongsian Pintar untuk Infrastruktur Rangkaian Internet Dalam Pembangunan Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS).
Kesemua penyerahan ini disaksikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim; dan Pegawai Pelaburan Pahang, YH. Dato’ Kamarul’Arifin Ahmad pada Selangor International Business Summit (SIBS) 2024, Main Stage, Hall 2, @ SPARK Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). -PAHANGMEDIA

