Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUANTAN, 25 JULAI 2024 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Rumah Anak Yatim dapat meringankan tanggungan kewangan pihak pengurusan selain melancarkan pentadbiran pusat berkenaan.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, bantuan ini juga sebagai tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada anak-anak yatim di negeri ini.
“Hari ini saya ke dua buah rumah anak yatim berdaftar bagi menyerahkan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang daripada Kerajaan Negeri Pahang di mana kita telah dua tahun mengadakan program seperti ini.

“Sebuah rumah anak yatim menerima RM10,000 selain kita berikan bantuan one-off kepada anak-anak yatim sebanyak RM250 yang mana meningkat berbanding RM200 tahun lepas.
“Bantuan ini diberikan kerana kita faham pengurusan anak yatim ini bukan satu perkara yang mudah dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit dan kita harap bantuan ini dapat melancarkan pengurusan rumah anak yatim ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, seramai 450 orang anak yatim direkodkan ditempatkan di lapan buah rumah anak yatim berdaftar di negeri ini.
Beliau sebelum itu telah meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan anak yatim di Pusat Jagaan Rumah Kebajikan Baitul Husna dan Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rapha.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad; dan Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail. -PAHANGMEDIA

