Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 JULAI 2024 : Kerajaan Pahang akan mempertimbangkan pemberian insentif kepada atlet negeri itu yang menyumbang emas sempena Temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 pada Ogos depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau akan membawa cadangan tersebut pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan menyerahkan keputusan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk menentukannya.
“Saya lebih suka YAB Menteri Besar umumkan nanti sebab saya nak membawa cadangan ke mesyuarat Exco, kalau sebelum ini kebiasannya untuk emas RM4,000 bagi satu pingat emas (individu), mungkin selepas ini saya nak mengemukakan cadangan kepada mesyuarat Exco dan terpulanglah kepada YAB Menteri Besar untuk tentukan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Pahang ke Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
Pada majlis itu, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menyerahkan bendera Pahang kepada Ketua Kontinjen Pahang Ke SUKMA Sarawak 2024, YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Munir.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, cabaran YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar untuk mencapai 60 pingat emas pada SUKMA Sarawak 2024 harus dijadikan sebagai pembakar semangat untuk beraksi pada pentas temasya SUKMA pada Ogos nanti. – PAHANGMEDIA

