Oleh : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUANTAN, 25 JULAI 2024 : “YAB. Menteri Besar Pahang amat prihatin terhadap orang orang ataupun anak-anak rakyat Pahang, selalu memberi bantuan tak kira apa bangsa pun,” ujar Encik Alex Chow.
Encik Alex Chow yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rapha Kuantan turut menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Rumah Anak Yatim dan sumbangan kepada setiap anak yatim di pusat jagaan.

“Saya juga amat amat berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang kerana beliau amat prihatin terhadap orang orang ataupun anak- anak rakyat Pahang. Selalu memberi bantuan tak kira apa bangsa pun.
“Saya berharap bantuan ini bukanlah terakhir. Di masa-masa akan datang mungkin YB ataupun kerajaan negeri akan datang memberi bantuan – bantuan untuk anak yatim ni sebab kita ni bukan di bawah kerajaan, kita adalah swasta.
“Jadi kita amat mengharap dana-dana daripada swasta dan juga daripada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Bagi Setiausaha Pertubuhan Baitul Husna, Dr. Ahmad Ikhwan Shah Akhtar Ali, melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang serta berharap pusat jagaan anak yatim tidak dilupakan.

“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas Bantuan Prihatin Pahang yang jelas ada peningkatan sumbangan secara individu bagi penghuni-penghuni Baitul Husna.
“InsyaAllah kami akan manfaatkan sumbangan ini untuk kegunaan tujuan utama bagi pendidikan dan pembangunan kemandirian para penghuni Baitul Husna Negeri Pahang.
“Sekali lagi kami ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kerajaaan Negeri Pahang khususnya Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, dan juga pengarah di atas majlis sumbangan yang diadakan ini. Harapan kami supaya tidak ditinggalkan, masih lagi masuk dalam senarai (penerima) sumbangan untuk tahun tahun yang akan datang,” katanya.
Sebanyak lapan buah rumah anak yatim berdaftar menerima RM10,000 setiap pusat jagaan di bawah BPP Kluster Rumah Anak Yatim manakala setiap penghuni menerima sumbangan RM250 seorang tahun ini. -PAHANGMEDIA

