TEMERLOH, 22 JULAI 2024 : Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi menangani krisis populasi sekaligus melindungi Harimau Malaya serta memulihara habitat semula jadinya yang memerlukan komitmen daripada semua pihak dalam mengekalkan kawasan berhutan yang menjadi habitat mamalia tersebut.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, banyak insiden kematian Harimau Malaya telah dilaporkan akibat konflik dengan manusia di mana pada tahun 2023 dan 2024 sahaja, sebanyak lima ekor Harimau Malaya telah mati termasuk menjadi mangsa roadkill dan sembilan ekor harimau telah ditangkap di kawasan-kawasan konflik.
“Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia terus komited untuk mempergiatkan usaha dalam memulihara Harimau Malaya melalui inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan antarahya Projek Global Wildlife Programme bersama United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia dengan dana Global Environment Facility (GEF) sebanyak USD1.5 juta untuk aktiviti-aktiviti konservasi Harimau Malaya termasuk di Kampung Cangkung dan Sungai Keniyam di Pahang sehingga tahun 2028.
“Selain itu pelaksanaan Program Pengurusan dan Perlindungan Harimau Malaya dan Hidupan Liar Terancam Lain di Landskap Taman Negara-Banjaran Titiwangsa serta di luar Landskap Taman Negara-Banjaran Titiwangsa bagi memantau populasi Harimau Malaya secara berterusan sehingga tahun 2025 selain mengukuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan di bawah Jabatan PERHILITAN sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya.
“Jabatan PERHILITAN juga telah mengaplikasikan penggunaan Assisted Reproductive Technology (ART) ke atas Harimau Malaya melalui teknologi permanian beradas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia 2024 di Institut Biodiversiti, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di Lanchang, hari ini.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian majlis ini.
Baginda yang tiba pada pukul 10.40 pagi diiringi Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan watikah kepada Renjer Komuniti Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal dan sijil penghargaan kepada Rakan Strategik Jabatan PERHILITAN.
Baginda turut berkenan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang yang menempatkan sebanyak enam ekor Harimau Malaya yang sedang menjalani program conditioning untuk membiasakan dengan situasi di habitat
semula jadi. Sepasang Harimau Malaya yang dipasangkan pada Oktober 2023 telah mengawan dan dalam tempoh pemantauan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga wakil rasmi Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Abd Razak serta YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Majlis sambutan diadakan di negeri Pahang bagi menghargai sokongan padu Kerajaan Negeri Pahang dalam penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (Malayan Tiger Conservation Centre – MTCC) dan kesungguhan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam menerajui pelaksanaan pelbagai usaha konservasi Harimau Malaya.
Hari Harimau Sedunia merupakan sambutan yang diraikan pada 29 Julai setiap
tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai
kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau.
Sambutan ini adalah relevan kepada Malaysia yang masih mempunyai Harimau Malaya iaitu spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara. -PAHANGMEDIA

