Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 19 JULAI 2024 : Festival Belia Pahang yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai ini di Wisma Belia Indera Mahkota, Kuantan dijangka dapat menarik kehadiran 70,000 belia.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata festival ini akan menjadi sebahagian daripada Sambutan Hari Belia Negara (HBN).
“Kebawah Duli Paduka Mulia akan hadir pada 28 Julai jam 3 petang di Wisma Belia. Dan buat julung kalinya festival ini dianjurkan di Wisma Belia.
“Dan ada acara penting sempena Festival Belia ini iaitu Majlis Anugerah Belia Pahang yang akan diadakan di lapangan, di tapak karnival. Sebelum ini kita asingkan majlis anugerah ini, kita adakan pada hari terakhir di tempat lain.
“Kita harap festival ini dapat menaik penyertaan lebih 70,000 belia dari seluruh Pahang memandangkan banyak segmen akan dijalankan sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bertemu atlet muay ke SUKMA di Pusat Latihan Muay di sini.
Menurut beliau pelbagai program telah disusun bagi menarik minat belia untuk hadir termasuklah melibatkan antaranya bidang budaya, sukan, kemahiran, serta peluang kerjaya.
“Kita harap pengisian sepanjang tiga hari ini mampu membentuk halatuju yang lebih jelas kepada belia di Negeri Pahang terutama dalam mendepani cabaran yang membelenggu belia di seluruh negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

