Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 20 JULAI 2024 : Kerajaan Pahang menggalakkan penyertaan anak muda dalam aktiviti kesukarelawanan yang merupakan aspek penting dalam pembangunan potensi golongan itu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan amat berharap agar golongan itu dapat membangun dan menyumbangkan bantuan kepada masyarakat.
“Kerajaan Negeri Pahang tentunya amat menggalakkan penglibatan anak muda dalam aktiviti sukarela dan Sukarelawan Anak Pahang In Action ini adalah pemula ke arah inisiatif tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Sukarelawan Anak Muda Pahang In Action (SACTION) di Balai Raya Kampung Pamah Rawas di Ulu Dong, Raub, hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, YBrs Encik Mu’azamir Haji Jili.
Program SACTION yang diadakan selama lima hari telah disertai 45 sukarelawan dari seluruh negeri ini merupakan perintis kepada anak muda Pahang dalam kesukarelawanan bertujuan memberi kemudahan kepada masyarakat atau pihak yang memerlukan.
Program SACTION telah mendapat kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjayakan misi program berkenaan.
Kerajaan Pahang melihat kesukarelawanan sebagai aspek penting apabila kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM220,000 bagi pelaksanaan program pembangunan Sukarelawan Anak Muda Pahang untuk melatih mereka agar sentiasa bersedia dan cakna dengan keadaan di sekeliling. – PAHANGMEDIA

