Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
BANGI, 14 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan untuk mengisytiharkan kira-kira 39 buah rancangan Felda lagi sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) menjelang hujung tahun ini.
Menurut Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan 18 kawasan STR di Pahang untuk generasi baharu Felda pada awal tahun ini.
“Alhamdulillah STRF di Negeri Pahang, YAB Menteri Besar telah pun melancarkan sebanyak 18 kawasan tanah rancangan dan kita nak mempercepatkan proses permohohan ini.

“Setakat ini di Jengka kita telah berjaya selesaikan 500 permohonan di mana kita (Kerajaan Negeri) sediakan tanah dan mereka bina rumah sendiri.
“Kita di Pahang kalau boleh kita nak tambah sekurang-kurangnya separuh daripada Felda yang ada di negeri ini, kita ada 115 rancangan, setakat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Malaysia Kali Ke-8 2024 di Dewan Sutera, Kolej Ibu Zain, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB. Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau dalam pada itu turut menyatakan harapan pertubuhan berkenaan untuk menarik minat kira-kira 20,000 anak Felda di Malaysia untuk menjadi ahli berdaftar KAF sehingga Disember ini.
“Kita menyasarkan 100,000 keahlian yang akan bersama dengan KAF sehingga 2026. Dan setakat ini kita ada kira-kira 30,000. Dan kita target untuk tahun ini adalah separuh daripada 100,000,” katanya. -PAHANGMEDIA

