Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 JULAI 2024 : Kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan sukan mempertahankan diri termasuk taekwondo di Pahang bagi memastikan negeri ini tidak ketandusan atlet pada masa akan datang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, banyak kelebihan terlibat aktif dalam seni mempertahankan diri ini termasuk akan menjadi lebih disiplin dan mempunyai karektor berbeza dengan individu yang tidak menyertainya.

“Yang paling menarik adalah soal pergaulan berbilang kaum. Justeru sudah pasti Kerajaan Negeri Pahang menyokong penuh pelaksanaan program seperti ini yang memberi manfaat langsung dan terus bukan sahaja kepada pembangunan sukan tetapi kepada Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian metika ditemui media selepas mewakili Menteri Besar Pahang pada Majlis Perasmian Kejohanan Taekwondo Antara Sekolah-Sekolah dan Jemputan Kelab-Kelab Negeri Pahang 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 550 orang pelajar dari seluruh Pahang menyertai kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
“Saya dapat saksikan semangat yang kental dan luar biasa daripada pelajar yang menyertai pertandingan ini. Tahniah kepada penganjur yang berjaya menganjurkan kejohanan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

