Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 11 JULAI 2024 : Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Menengah Agama Pahang (MASISUPA) merupakan salah satu platform untuk mencungkil bakat sukan baharu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata majlis sukan ini juga dapat mencari bakat jurulatih sambilan bagi melatih atlet di negeri ini.
“Selepas SUKMA pada Ogos ini, saya dah capai persetujuan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) untuk mempergiatkan penganjuran sukan dan mencari bakat-bakat baharu di kalangan pelajar dari akar umbi.
“Dan kita juga kenalpasti jurulatih-jurulatih sambilan dari kalangan guru-guru untuk mencari bakat-bakat baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Menengah Agama Pahang (MASISUPA) Kali Ke-40 di SMA Al-Falah, Batu Talam yang turut dihadiri, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mat Zain.

Beliau berkata kerjasama erat di antara JPNP dan Majlis Sukan Pahang (MSP) sangat diperlukan bagi memastikan bakat dan potensi para pelajar dapat dicungkil.
“Saya harap Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang akan sama melibatkan diri dalam Majlis Sukan dan Ilmiah anjuran JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) ini untuk melihat potensi dan bakat pelajar itu sendiri.
“Majlis Sukan Pahang khususnya diharap dapat dilibatian selepas ini dan mungkin boleh menyumbang untuk program ini juga untuk menjadikan ia lebih meriah dan yang penting untuk kenalpasti bakat pelajar dalam bidang sukan.
“Saya tengok acara-acara pada majlis ini juga dipertandingkan dalam SUKMA. Jadi kena sangatlah dan saya akan cadangkan kepada MSP untuk beri kerjasama terhadap penganjuran MASISUPA ini,” katanya.
Seramai 1,200 pelajar termasuk jurulatih dan pengurus daripada 24 sekolah termasuklah Sekolah Menengah Agama Kerajaan dan Maahad Tahfiz Negeri terlibat dengan MASISUPA ini di mana 488 pelajar memasuki acara ilmiah dan 432 pelajar lagi menyertai acara sukan. -PAHANGMEDIA

