Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 09 JULAI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) menjadikan rumah kurniaan tersebut sebagai ‘syurga’ bersama keluarga.
Paduka Baginda turut bertitah kepada kesemua 17 penerima rumah Ru’RASA supaya mereka menjaga rumah kurniaan tersebut dengan sebaik mungkin.
“Jagalah rumah ini dengan sebaik mungkin. Jadikan rumah sebagai ‘syurga’ kepada anak cucu kita dan tambah-tambah lagi rumah ini cukup dekat dengan masjid. Cukup banyak berkat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Daerah Raub di Tapak Rumah RU’RASA, Kampung Gali Tengah.
Ketibaan baginda pada 3 petang diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong.
Baginda dalam titah turut berkenan menzahirkan ucapan selamat tahun baharu Maal Hijrah dan meminta penduduk setempat untuk mengimarahkan masjid.
“Masjid ini saya yang rasmi pada 2017. Saya harap banyak lagi orang datang sembahyang Subuh, sembahyang waktu yang lain. Dan adakan kelas Fardhu Ain dan sebagainya.
“Saya ambil kesempatan untuk ucap salam Maal Hijrah dan mudah-mudahan kita semua dapat keberkatan Allah SWT,” titah baginda.
Seramai 17 penerima rumah Ru’RASA daerah Raub telah menerima replika kunci rumah serta barangan makanan kering daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada majlis hari ini. -PAHANGMEDIA

