Oleh : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
RAUB, 9 JULAI 2024 : “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira sangat kerana sebelum ini saya duduk di rumah lama yang tak boleh dibaiki,” ujar Puan Raudzah yang merupakan salah seorang penerima Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA).
Puan Raudzah Rantau, 62, yang merupakan seorang ibu tunggal berkongsi perasaan gembiranya kerana sempat berpuasa dan beraya di rumah baru berbanding berteduh di rumah usang sebelum ini.
“Terima kasih kepada Sultan Pahang yang berjiwa rakyat yang dah bagi saya sebuah rumah yang memang saya memerlukan sangat.
“Saya doakan Tuanku dan Tengku Ampuan (Pahang) dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa terus kekal sebagai pemerintah negeri pahang yang sangat disayangi rakyat jelata,” katanya.
Sementara itu, bagi Puan Rosmili Pawi, 49, isteri kepada penerima Encik Nawawi Mat Jamin berkata, menerima Rumah RU’RASA adalah sesuatu yang sangat tidak dijangka kerana ia merupakan rumah impian yang memang tidak mampu untuk didapatkan.
“Kami rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah
“Sebelum ini, kami hanya menyewa di kampung ini. Kami juga sangat berterima kasih kerana rumah ini dilengkapi dengan sofa, dua biji katil bujang, satu biji katil kelamin dan tiga buah almari,” katanya yang bekerja sebagai tukang masak.
Encik Rahmat Isek, 48, yang merupakan penerima dari Kampung Kuala Semantan turut melahirkan rasa terima kasih yang tak terhingga kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
“Sebelum ini, saya terpaksa bersempit bersama keluarga di rumah lama. Alhamdulillah, kami sekeluarga sangat gembira dengan kurnian rumah baru ini,” katanya yang bekerja kampung.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Gali Tengah.
Hadir sama YB. YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong.– PAHANGMEDIA