Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 27 JUN 2024 : Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) menganjurkan program #McLIVE 8.0 yang menawarkan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif dan praktikal kepada pelajar Kolej Tingkatan Enam Astana.
Program yang dirasmikan oleh Pengetua Kolej Tingkatan Enam Astana, Encik Saiful Hisham Yaakob ini bukan sahaja mencipta peluang pembelajaran tetapi juga membangkitkan semangat pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti.
#McLIVE 8.0 menampilkan tiga program utama: #McLIVE8.0: Hogoh Komunikasi dan Penerbitan, GlowINC Green: Ready, Set, Glow, dan CMP-ACT 2024: PELAJAR BIJAK TIDAK KENA SCAM.
Ketiga-tiga program ini dijalankan serentak oleh pelajar tahun akhir FKPM dengan membawa perspektif dan pengalaman berbeza, mencerminkan kepelbagaian bidang komunikasi yang ditawarkan di FKPM.
Program pertama, #McLIVE8.0: Hogoh Komunikasi dan Penerbitan, menarik minat peserta dengan sesi ceramah oleh Blink Publication yang memfokuskan penggunaan perisian InDesign untuk reka bentuk grafik.
Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari bukan sahaja teori, tetapi juga aplikasi praktikal yang penting dalam industri penerbitan.
Sementara itu, Program GlowINC Green berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan kulit dan penggunaan pelindung matahari untuk kesihatan kulit yang lebih baik.
Dengan fokus pada isu semasa, Program CMP-ACT 2024 memberi tumpuan kepada pencegahan penipuan dalam talian. Sesi ini memberikan maklumat yang sangat relevan, terutama bagi pelajar yang sedang bersiap sedia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Dalam pada itu, #McLIVE 8.0 ini merupakan program tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media kerjasama antara Program Penerbitan (MC245), Komunikasi Antarapersonal (MC247), dan Pengurusan Komunikasi dan polisi (MC248), FKPM UiTM Shah Alam.
Dengan adanya program seperti ini ia membuktikan komitmen pelajar FKPM UiTM Shah Alam dalam menerajui bidang komunikasi dan media bukan sahaja menawarkan pengalaman pembelajaran praktikal yang berharga tetapi juga berjaya memberi impak positif kepada masyarakat. -PAHANGMEDIA

