Oleh : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUANTAN, 14 JUN 2024 : “Saya sangat bersyukur dan gembira dengan rezeki kurniaan tuanku kerana dapat mengurangkan beban saya,” ujar seorang ibu tunggal, Rokiah Hamid, 60, penerima Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Pahang (RU’RASA).
Rokiah Hamid yang merupakan seorang tukang urut dan petani berkata, kurniaan rumah itu dapat membantunya meringankan beban membayar sewa rumah sebelum ini.

“Terima kasih atas pemberian ini, rasa macam tak percaya dapat rumah sendiri. Alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, bagi Puan Hasniah Mat Husin, seorang suri rumah yang dulunya menetap di rumah RTP berkata menerima Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Pahang (RU’RASA) adalah sesuatu yang sangat tidak dijangka.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Sebelum ini, saya menetap di rumah RTP tetapi keadaan rumah tersebut sudah terlalu uzur dengan atapnya yang bocor” katanya.
Bagi penerima Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Pahang (RU’RASA), Abu Bakar Taib, 68, dari Sungai Lembing, di sini melahirkan rasa terima kasih yang tak terhingga kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Raja Arab Saudi.

“Sebelum ini, saya terpaksa menyewa rumah dan balai raya untuk berteduh serta meneruskan kehidupan.
“Alhamdulillah, pemberian rumah ini buat saya benar-benar bersyukur dan gembira,” katanya yang bekerja sebagai penyelia di kilang papan.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Pahang (RU’RASA) di Kampung Batu 4, Jalan Sungai Lembing Kuantan.
Hadir sama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan ketua-ketua jabatan.– PAHANGMEDIA

