Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 15 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini dalam meluaskan pemasaran produk serta penghasilan produk yang lebih berdaya saing.
Menurut Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Kerajaan Negeri Pahang berkerjasama erat dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan hasrat ini tercapai.

“Pihak FAMA tidak pernah lekang daripada pembangunan-pembangunan pemasaran dan sumber manusia serta produk. Dan produk yang kita ada perlu dinaiktaraf dari segi pensijilan halal, pembungkusan, dan pemasaran.
“Dari segi Kerajaan Negeri, kita membantu menggerakkan usahawan-usahawan kita untuk lebih berdaya saing dan berdaya maju supaya produk-produk mereka dapat dipasarkan lebih jauh lagi,” katanya ketika ditemui selepas Program Walkabout di Pasar Tani Kekal Chini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Mohd. Sharim Md. Zain; Ketua Pengarah FAMA, Encik Abdul Rashid Bahri; dan Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang melihat banyak kluster usahawan dari pelbagai kawasan serta jenis jualan yang boleh diketengahkan dari segi pemasaran sekiranya kerjasama bersama pihak FAMA dijalankan.

Mengulas mengenai bayaran tanpa tunai, beliau berkata jenis pembayaran ini sudah mulai digunakan secara meluas di Negeri Pahang dan boleh diluaskan dalam semua jenis perniagaan di Pahang melalui PahangGo.
“Bayaran tanpa tunai ini salah satu modul yang amat menarik perhatian kita dan mungkin boleh diterjemahkan ke peringkat negeri. Saya lihat peniaga yang mak cik pun dah guna bayaran secara cashless. Maksudnya semua orang dah menggunakan cashless bukan hanya golongan muda.
“Dan dengan bayaran secara cashless ini juga dapat mengawal kewangan peniaga secara lebih baik dan teratur di mana peniaga dapat lihat transaksi keluar masuk hasil perniagaan mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

