Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 30 MEI 2024 : Penekanan kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerja perlu menjadi fokus penting oleh semua organisasi di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ia bagi memastikan amalan yang diterapkan ini dapat memastikan kebajikan para pekerja.
“Saya tengok pihak pengurusan Pascorp Paper Industri Berhad ini memang bagi tumpuan khusus dan penekanan kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerja.Banyak langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak syarikat dalam memastikan persekitaran tempat kerja khususnya di kilang sentiasa selamat kepada para pekerja.
“Ini penting sebab bukan sahaja mereka bekerja di sini, tapi bila berada di rumah, dia jadi amalan bila penekanan ini betul-betul diberi tumpuan.
“Dan saya harap syarikat lain di luar sana mencontohi Pascorp Paper Industri Berhad ini dari segi penumpuan kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerja sebab ia untuk manfaat jangka panjang kepada pekerja itu sendiri, keluarga mereka dan pihak syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Pascorp Paper Industri Berhad hari ini.
Menurut beliau, penerapan aspek keselamatan dan kesihatan oleh para pekerja dilihat dapat mengelakkan pekerja daripada ditimpa kecelakaan ketika bekerja.
“Kalau kita memandang mudah aspek ini, itu yang jadi ada kecelakaan atau kemalangan di tempat kerja.
“Jadi penegasan ini penting supaya kita dapat mengelak dan mencegah daripada berlakunya kemalangan dan kecelakaan atau dapat meminimakannya yang mana (sekiranya berlaku) akan menjejaskan pekerja dan syarikat,” katanya. -PAHANGMEDIA

