Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 MEI 2024 : Penerima Bantuan Prihatin Pahang Kluster Siswa menyifatkan bantuan RM400 yang diterima mereka adalah satu langkah prihatin dan cakna oleh Kerajaan Pahang terhadap nasib rakyat terutama mahasiswa.
Bagi pelajar, Nur Syahira Aslan, 25, Bantuan Prihatin Pahang ini sedikit sebanyak dapat membantu dirinya membeli barang keperluan bagi menghadapi projek tahun akhirnya di UMPSA Pekan.

“Saya gembira dapat bantuan ini. Dari awal saya belajar sehinggalah sekarang, Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah henti memberi bantuan kepada saya.
“Kalau sebelum ni ada Zakat Pahang sekarang, dapat pula Bantuan Prihatin ni jadi ini amat menggembirakan saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2024 ini dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Seramai 1,600 Siswa Negeri Pahang menerima Bantuan Prihatin Pahang 2024 sebanyak RM400 pada majlis yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Gambang.

Dalam pada itu, pelajar Muhamad Zul Irfan Jamal Abd Nasir, 23 berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri kerana sentiasa memberi bantuan kepadanya.
“Terima kasih banyak-banyak Dato’ Sri Haji Wan Rosdy atas sumbangan yang diberikan. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin kerana sentiasa memberikan banyak sumbangan terhadap pelajar seperti saya.
“Insyaallah, saya akan gunakan duit ini untuk masa hadapan saya dan akan bayar yuran universiti,” katanya.

Sementara itu, pelajar S. Kawsalya Pillay, 22 turut berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana meringankan beban keluarganya dalam menanggung dirinya.
“Terima kasih sebab meringankan beban mak ayah saya dan mengurangkan perbelanjaan saya untuk saya belajar.
“Saya akan guna duit ini untuk membeli buku dan keperluan saya untuk belajar,” katanya. – PAHANGMEDIA

