Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 MEI 2024 : Seramai 110 peserta Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan menerima sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Pahang.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata sumbangan ini merupakan salah satu cara Kerajaan Negeri Pahang memuliakan Ahli Quran dan pembawanya.
“Saya berkesempatan untuk mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyantuni para peserta Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Swiss-Bel Hotel. Ia adalah cetusan idea YAB. Menteri Besar Pahang sendiri agar Pahang mendepani dalam memuliakan Ahli Quran dan pembawanya.
“Kerajaan Negeri Pahang telah bermurah hati menghulurkan wang tunai sebanyak RM1,000 bagi setiap peserta seramai 110 orang yang melibatkan kos berjumlah RM110,000.
“Sumbangan ini diberikan secara tunai bagi membolehkan para peserta menggunakannya dengan sebaik mungkin ketika berada di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Kepada Peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Swiss-bel Hotel.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan kedatangan para peserta yang diharapkan dapat membawa kemakmuran kepada Pahang melalui lantunan ayat-ayat suci Al-Quran.
“Kerajaan Negeri merasa amat berbangga kerana menerima tetamu tilawah dan hafazan Al-Quran di Negeri Pahang Darul Makmur, mudah-mudahan negeri ini dengan kehadiran anda semua terus makmur, mendapat keberkatan dengan bacaan firman-firman, kalam Allah SWT,” katanya.
Seramai 14 qari dan 15 qariah termasuk Johan Menunggu mewakili negeri masing-masing bagi pertandingan tilawah, manakala 81 peserta lagi merupakan peserta hafazan bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bermula Khamis ini. -PAHANGMEDIA

