Oleh : Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 MEI 2024 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa boleh meningkat kepada RM500 sekiranya Kerajaan Negeri berjaya mencapai hasil sebanyak RM1.6 bilion tahun ini.
Menurutnya , bantuan sebanyak RM300 pada tahun lalu telah meningkat kepada RM400 pada tahun ini berikutan keprihatinan Kerajaan Negeri akan kesulitan yang dihadapi siswa yang memerlukan sokongan kewangan.

“Saya telah berjanji kepada mereka (pelajar) untuk meningkatkan bantuan ini sekiranya kedudukan kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik atau berlaku pertambahan hasil sebanyak RM1.6 bilion.
“Sebab kita dapat merasakan sebagai seorang pelajar semestinya menghadapi sedikit sebanyak kesulitan kewangan. Kami semua pernah menjadi pelajar, jadi kita pernah rasa keadaan ketika itu empat tahun begitu perit hendak menghabiskan pelajaran. Jadi sumbangan ini boleh meringankan bebanan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2024 Kluster Siswa di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Gambang hari ini.
Hadir sama YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Seramai 1,600 orang penerima yang terdiri daripada UMPSA, UCYP University (UCYP), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kolej Yayasan Pahang (KYP), Pahang Skills Development Centre (PSDC) dan Kepimpinan Tertinggi Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN) Institut Pengajian Tinggi di negeri ini hadir ke majlis berkenaan.

Dalam pada itu berkata, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2024 memperuntukkan sebanyan RM14.18 juta ringgit bagi pelaksanaan BPP Siswa Tahun 2024.
“Peningkatan jumlah peruntukan daripada RM8 juta ringgit pada tahun lalu kepada RM14.18 juta ringgit pada tahun ini.
“Jumlah penerima keseluruhan BPP Kluster Siswa bagi tahun 2024 adalah seramai 19,525 orang mahasiswa yang terdiri daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta milik Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya berharap siswa siswa dapat menggunakan sumbangan kerajaan negeri inj untuk keperluan pembelajaran mereka atau apa sahaja untuk diri mereka, gunakan sebaik mungkin,” katanya. -PAHANGMEDIA

