Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 18 MEI 2024 : Kerajaan meminta semua pihak tidak mengambil mudah kejadian serangan seperti yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor walaupun Malaysia merekodkan indeks keamanan di tahap paling tinggi.
YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata insiden yang mengorbankan dua anggota polis tersebut merupakan satu kejadian yang disifatkan sebagai kes terasing.
“Saya mengharapkan masyarakat umum keseluruhannya harus menyantuni kumpulan -kumpulan yang berkenaan (pengganas) supaya mereka tidak terus terjebak apabila mereka terasing daripada komuniti yang lebih besar di sesuatu kawasan itu.
“Dari segi indeks keamanan terutamanya dari segi keganasan, saya yakin (Malaysia) berada di tahap paling tinggi tetapi kejadian yang sangat terasing begini jangan diambil mudah,” katanya.
Menurut beliau Kerajaan juga mahu menghapuskan keganasan secara menyeluruh di negara ini memandangkan Malaysia merupakan negara contoh dalam dasar deradikalisasi.
“Saya merasakan bahawa tidak sepatutnya negara kita terus menghadapi permasalahan
keganasan kerana Malaysia adalah negara contoh di mana dasar deradikalisasi telah diterima di pihak dunia.
“Jadi apa yang berlaku di Ulu Tiram ini, tindakan pantas pihak polis amat dialu-alukan dan kita mahu menghapuskan seratus peratus daripada pengaruh terrorism atau keganasan di negara kita.
“Dan itu sebabnya saya fikir, bukan sahaja PDRM (Polis DiRaja Malaysia) tetapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut bergerak untuk menentukan perkara ini tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5MW Cenergi FJP di Kilang Sawit Felcra Jayaputra hari ini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felcra Berhad, YBhg. Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim.
Dua anggota polis maut manakala seorang lagi cedera selepas diserang seorang lelaki disyaki pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam. -PAHANGMEDIA

