Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 18 MEI 2024 : Sumbangan sebanyak RM8,000 daripada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah selamat diserahkan kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said di Taman Seri Mahkota Jaya, pagi tadi.
Allahyarham merupakan salah seorang daripada dua anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Ustaz Yunan Abdul Samad kepada kepada bapa Allahyarham iaitu Ahmad Said Md Piah, 65, dan ibunya, Puan Aini Mohd Shariff, 57.
Dalam ziarah berkenaan, Ustaz Yunan mewakili Kerajaan Negeri Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan atas kehilangan insan yang tersayang.
“Kita berharap agar keluarga dapat bersabar atas pemergian Allahyarham dan menerima Qada’ dan Qadar.
“Doa diiringi buat kedua-dua anggota polis yang terkorban dalam insiden berkenaan, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin dan syuhadah,” katanya.
Semalam Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM5,000 dan tambahan sumbangan peribadi beliau sebanyak RM3,000 kepada keluarga Allahyarham.
Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.54 pagi semalam, dua anggota polis maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap bersenjatakan parang.
Kedua-dua mangsa yang sedang bertugas, Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dilaporkan ditembak di muka manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.
Jenazah Muhamad Syafiq dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, petang ini.-PAHANGMEDIA

