Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 MEI 2024 : Kerajaan Pahang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan cadangan menambah jumlah penjawat dalam perkhidmatan pemulihan cara kerja di negeri ini yang disifatkan tidak mencukupi bagi menampung keperluan semasa.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim berkata, setakat ini, terdapat 87 ahli terapi cara pulih kerja di Pahang dan jumlah itu perlu ditambah kepada angka yang lebih besar.

“Kalau kita tengok sekarang, (Pahang) hanya ada 87 ahli terapi, sedangkan keperluan lebih besar.
“Jadi, kita minta kementerian (KKM) dapat menambah bilangan kakitangan ataupun ahli terapi kepada jumlah mungkin sehingga 150 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Persidangan Kebangsaan Jurupulih Pekerjaan Malaysia (MOTNC) 2024 Peringkat Kebangsaan di Indera Mahkota, hari ini

Turut hadir, Ketua Profesion Pegawai Pemulihan Perubatan dan Juru Pulih Perubatan Cara Kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nora Hamid dan Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia, Profesor Dr Ahmad Zamir Che Daud.
Sementara itu, YB Tuan Razali memberitahu Kerajaan Pahang akan mengambil langkah untuk bekerjasama dengan pelbagai persatuan bagi mendedahkan orang ramai kepada industri ini melalui persidangan ini.
Jelasnya persidangan ini dapat memberi manfaat dan impak positif kepada semua peserta dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan terapi cara kerja di Pahang.
“Pada hari ini kita adakan persidangan, dan ia secara tidak langsung boleh menarik minat (masyarakat), kerana terdapat pelajar dan penuntup universiti menyertainya,” katanya. -PAHANGMEDIA

