Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan dua program terbaru di bawah inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia melibatkan Program Berkhatan Anak Pahang dan Insentif Perkahwinan Kali Pertama.
“Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan dua program terbaru di bawah inisiatif BPP ini laitu Program Berkhatan Anak Pahang yang telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada 3,000 penerima. Program ini telah bermula pada 13 Februari lepas di Rompin dan telah selesai sepenuhnya pada 28 Februari di Cameron Highlands.
“Inisiatif seterusnya ialah Insentif Perkahwinan Kali Pertama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 3 juta. la telah diperkenalkan pada tahun 2023 kepada pasangan yang beragama Islam namun kini telah diperluaskan kepada 2,000 pasangan bukan Islam berdasarkan purata statistik Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau Inisiatif Perkahwinan Kali Pertama ini telah dilancarkan pada 27 Januari lalu semasa Moh Karnival Makmur di Lipis dan kini dalam proses agihan bantuan.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM2.1 juta sebagai bantuan kepada ibu tunggal yang berada dalam kategori miskin dan memerlukan bantuan di negeri ini.
“Ibu tunggal miskin di Pahang ini sebab kita menghargai mereka, kita panggil ibu mulia, dan kita telah pun peruntukkan RM2.1 juta untuk ibu tunggal dan ianya dalam pelaksanaan,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan Kerajaan Negeri untuk memperluaskan bantuan kepada suri rumah di negeri ini, beliau berkata ia bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.
“Manakala cadangan Yang Berhormat (Ketari) tadi untuk bantuan suri rumah kita akan fikirkan, dan kalau sekiranya kedudukan kewangan tidak ada masalah. Yang pentingnya Kerajaan Negeri dah sentiasa membantu rakyat yang memerlukan di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata sebanyak RM141.78 juta telah dibelanjakan bagi inisiatif BPP oleh Kerajaan Negeri Pahang telah diperkenalkan pada tahun 2020 dan sehingga kini.
“Bagi tahun 2020-2021, sebanyak RM31.3 juta telah diperuntukkan bagi BPP ini. Manakala bagi tahun 2022, sebanyak RM30 juta, tahun 2023 sebanyak RM42.4 juta, dan bagi 2024 sebanyak RM38.08 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program-program di bawah inisiatif BPP.
“Kerajaan Negeri Pahang sedar akan keperluan dan manfaat pelaksanaan inisiatif BPP kepada rakyat Negeri Pahang. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menambahbaik pelaksanaan inisiatif BPP serta memperluaskan skop program-program di bawah inisiatif BPP agar lebih ramai rakyat Negeri Pahang menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong ketika Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA