Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kira-kira 86 peratus kemudahan asas seperti jalan, air dan elektrik telah disediakan di Perkampungan Orang Asli (KOA) Negeri Pahang secara khususnya.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, terdapat sebanyak 266 KOA di negeri ini dengan sebahagian besarnya telah menerima kemudahan asas.
Menurutnya, bagi kemudahan elektrik, sebanyak 51 KOA masih belum menerima kemudahan itu manakala tujuh KOA pula yang masih belum menerima bekalan air dan 47 KOA pula masih tidak menerima kemudahan jalan.
“Sebenarnya kerajaan telah berusaha contohnya macam di Lipis ini, saya menjawab sekali apakah langkah-langkah kerajaan, pihak kerajaan telah mengadakan projek bersama TNB, Mini Hidroelektrik yang sedang dilaksanakan di Pos Lenjang dan Pos Titum yang dijangka akan dapat membantu kampung-kampung berkenaan mendapat bekalan elektrik dan (dijangka) selesainya dianggarkan pada tahun 2026, InsyaaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah dan Negeri sentiasa berusaha mengatasi masalah kemudahan asas di kesemua 266 KOA di Pahang menerusi pelbagai usaha dan inisiatif.
“Antaranya mengenalpasti isu-isu keperluan asas di KOA, mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama TNB, JKR, PAIP dan agensi terlibat,” katanya.
JAKOA juga akan mengangkat permohonan peruntukan kepada KKDW bagi melaksanakan kemudahan di KOA selain JAKOA membekalkan data dan maklumat kepada pihak KKDW untuk dimasukkan di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB). – PAHANGMEDIA

