Oleh : Fansurina Abdullah / Fairus Mohd / Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Pahang memperkukuhkan pembangunan Islam menerusi pendidikan di negeri ini dengan memperuntukkan bantuan yang besar bagi sektor berkenaan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM592,000 kepada 59 pelajar ke Mesir manakala 19 pelajar ke Universiti Yarmouk Jordan oleh Yayasan Pahang menelan belanja RM83,000 seorang dengan jumlah keseluruhan RM1.6 juta.
“Selain itu keutamaan turut diberikan kepada kerja menaiktaraf Sekolah Menengah Agama Negeri dengan peruntukan sebanyak RM33 juta serta sejumlah RM1.43 juta turut diberikan bagi Bantuan Bayaran Makanan Bermasak kepada empat SMA Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Beliau berkata, menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) , Kerajaan Negeri bertaggungjawab mengekalkan keamanan dan mengelak berlakunya perpecahbelahan dikalangan umat Islam dengan memastikan tiada ajaran sesat dan unsur-unsur kepartian di dalam masjid di negeri ini berlaku.
Justeru, MUIP telah mengeluarkan sebanyak 311 kebenaran mengajar kepada pemohon selepas melakukan penelitian rapi oleh majlis berkenaan selain menempatkan seramai 436 guru takmir di masjid seluruh Pahang dan pemantauan kerap dilakukan bagi memastikan tiada pemesongan ajaran berlaku.
Di samping itu, Kerajaan Pahang turut memberi perhatian terhadap pengurusan masjid di negeri ini agar dapat menjalankan operasi dan aktiviti dari semasa ke semasa dengan menyediakan peruntukan yang besar.
Bagi pengurusan masjid dan surau, Kerajaan telah memperuntukkan RM1.9 juta bagi Program Perasmian Masjid dan Majlis Berbuka Puasa 2024, RM788,900 Bantuan Khas Aidilfitri kepada 3,343 orang imam, bilal dan siak, RM1 juta Program Berkhatan Anak Pahang kepada 3,500 kanak-kanak, RM10,00 BPP kepada 696 masjid dan surau kebenaran Jumaat dan banyak lagi.
Menerusi dakwah, sebanyak RM509,000 diperuntukkan bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri, RM2.7 juta bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan, RM1.2 juta bagi sambutan Hari Kebesaran Islam peringkat negeri dan daerah, RM500,000 Program Santuni Saudaraku, RM1.4 juta Bantuan Haji kepada Jemaah Haji Pahang dan RM1 juta BPP kepada 5,000 mualaf dalam Negeri Pahang.
Kerajaan turut menyediakan Insentif Perkahwinan Kali Pertama (IKPP), memberikan keutamaan untuk penyelenggaraan Kompleks Pemuliaan Al-Quran dan Program Pemantauan Ajaran Sesat.
Manakala, sebanyak 155 buah Projek Pembangunan Luar Bandar di Pahang dengan nilai keseluruhan RM402 juta melibatkan 39 buah projek baru dan 116 projek sambungan.
Antara tumpuan projek pembangunan luar bandar ialah berkenaan peningkatan khidmat bekalan air, menaiktaraf jalan dan jambatan, pengurusan banjir serta peningkatan jalur lebar.
Bagi hal ehwal Orang Asli pula, kerajaan telah menyediakan 100 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) dengan kos RM7.5 juta, baik pulih rumah Orang Asli (RM1.5 juta), komputer riba menerusi Pahang Pride Orang Asli, Insentif Perkahwinan Orang Asli dan dua projek Skim Tanah Rakyat Khas (STRK) di Kampung Permatang Siput dan Kampung Mempelam.
Manakala Projek Tanaman Durian Secara Usahasama bersama PSK dan SMT Durian Plantation Sdn Bhd di Kampung Pantos, Lipis, Program Pembangunan Belia Orang Asli (RM200,000) dan RM1.5 juta bagi Kompleks Perkampungan Budaya Orang Asli Betau, Lipis. – PAHANGMEDIA

