Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjaga kebajikan wanita dengan meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam ekonomi dan sokongan psikososial.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata Kerajaan Negeri Pahang turut berkolaborasi bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) bagi melaksanakan beberapa inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2024
“Sukarelawan Skuad Waja adalah sebuah sukarelawan dibawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang bertujuan untuk memperkasakan komuniti melalui psikososial dan aktiviti dalam komuniti khususnya wanita bagi meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah.
“Skuad Waja juga berperanan memberi panduan kepada masyarakat tentang pentingnya usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita. Pada tahun 2024 JPW akan memberi tumpuan untuk melatih lebih ramai skuad waja dalam komuniti dan memperkasakan ahli–ahli skuad waja sedia ada dengan program-program refresher,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau juga berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita juga telah merangka pelbagai program yang bersesuaian selaras dengan Teras Strategik 2 : Pelan Strategik KPWKM 2021-2025: Memperkasakan Wanita.
“Program-program ini dilaksanakan melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri dan dirangka selaras dengan langkah strategik dibawah Teras Wanita dan Ekonomi, Wanita Selamat, Wanita Sejahtera serta Wanita dan Kepimpinan,” katanya.
Jelas beliau lagi, sebanyak 32 NGO telah diluluskan Peruntukan Bantuan Khas Perbendaharaan melibatkan lebih RM 0.5 juta untuk dimohon oleh NGO bagi pelaksanaan program-program pemerkasaan wanita khususnya kumpulan sasar Kementerian yang terdiri daripada wanita, orang kurang upaya, warga emas, keluarga, kanak-kanak, mangsa bencana, NGO, sukarelawan, mangsa keganasan rumah tangga dan orang papa.
“Sepanjang tahun 2023, 2 NGO iaitu Persatuan Kasih Peduli Kuantan (Peduli Care) dan Persatuan Jingga Wanita Peduli telah dluluskan di Negeri Pahang melalui peruntukan Bantuan Khas Perbendaharaan NGO KPWKN yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 21,648.00,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan dalam agenda pemerkasaan wanita, LPPKN secara tidak langsung berperanan untuk memastikan kesihatan terutamanya kesihatan reproduktif wanita diberi tumpuan.
Inisiatif secara berterusan dilaksanakan menerusi kempen Women Cancer Reproductive (WCaRe) kepada golongan wanita untuk melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan kanser payu dara dan pangkal rahim.
Di peringkat Negeri Pahang, melalui program Cakna Suri kerajaan juga telah meluluskan peruntukkan tambahan kepada Wanita bagi melakukan ujian Mamogram dan HPV DNA secara percuma. Inisiatif secara usahasama LPPKN dan UPWS negeri Pahang telah memberi manfaat kepada seramai 1,415 wanita sehingga Disember 2023. – PAHANGMEDIA

