Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Penurunan jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) Negara sebanyak 47 peratus pada tahun lalu tidak memberi kesan kepada negeri Pahang, malah angka yang dicatat menunjukkan peningkatan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, pada tahun 2022, jumlah nilai pelaburan komited yang masuk ke negeri ini ialah sebanyak RM20.5 bilion di mana jumlah FDI ialah RM11.01 bilion.
“Pada tahun lepas, jumlah yang masuk adalah lebih kurang RM16.4 bilion namun jumlah FDI meningkat iaitu sebanyak RM11.7 bilion sekaligus memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Pahang termasuk kutipan hasil negeri yang meningkat iaitu sebanyak RM1.306 bilion berbanding RM1.28 bilion pada tahun 2022.
“Kerajaan Negeri juga sedang meneliti cadangan projek-projek FDI khususnya berimpak tinggi untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik lebih banyak prospek pelaburan asing ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Beserah, YB Tuan Haji Andasura Rabu pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu ketika disoal mengenai perancangan bidang Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (Renewable Energy), Dato’ Mohamad Nizar berkata, nilai pelaburan komited melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang pada tahun 2023 ialah sebanyak RM800 juta bagi Projek Pahang Wind Farm oleh Tadau Energy Sdn Bhd.
“Kerajaan Pahang juga telah menjalinkan kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menerokai pelbagai peluang sumber tenaga baharu di mana skop utama MoU ini adalah terlibat secara langsung di dalam penjanaan Tenaga Boleh Baharu sekaligus menyokong aspirasi nasional melalui National Energy Transition Roadmap (NETR).
“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam aktiviti penghasilan tenaga yang lebih bersih, hijau dan cekap yang akan memberi manfaat melalui penambahan peluang pekerjaan bermutu tinggi serta limpahan ekonomi kepada rakyat negeri Pahang,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Pahang telah menerima pelaburan yang dianggarkan sebanyak RM800 juta untuk Projek Janakuasa Tenaga ‘Pahang Wind Farm’ berkapasiti 2GW yang akan dilaksanakan di beberapa daerah iaitu Rompin, Pekan, Bentong, Raub, Lipis dan Kuantan oleh syarikat tempatan dengan kerjasama sebuah syarikat daripada Emiriah Arab Bersatu.
Katanya lagi projek berkenaan sedang dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan dan ia dijangka akan menjadi projek janakuasa tenaga angin pertama di Malaysia. -PAHANGMEDIA

