Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta melalui Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia ke-12, bagi pembinaan Mini Stadium atau Mini Kompleks Sukan di Kampung Kolam, Rompin.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, lawatan tapak dan perbincangan berkenaan skop kerja Mini Stadium atau Projek Mini Kompleks Sukan di Kampung Kolam telah diadakan pada 8 Februari lalu dan dijangka akan melaksanakan proses tender projek pada tahun 2025.
“Projek ini merangkumi kerja-kerja-awalan, pembinaan litar premix sepanjang 1.5 kilometer, kerja-kerja elektrikal dan mekanikal, serta kerja- kerja berkaitan, yang melibatkan kos anggaran sebanyak RM6 juta ringgit. InsyaAllah, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberikan perhatian khusus kepada pelaksanaan kedua dua projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tioman, Dato’ Sri Johari Hussain pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, YB. Tuan Fadzli juga berkata Kerajaan Negeri Pahang sangat komited dan bersungguh-sungguh untuk memenuhi hasrat minat golongan anak muda dalam sukan permotoran
“Selain rancangan di rompin ini, ada sebuah litar di Pekan yang turut akan kita lawati nanti untuk kita bangunkan semula litar ini cumanya untuk kemudahan dan infrastruktur litar permotoran ini memerlukan perbelanjaan yang cukup besar.
“Oleh itu, kita perlu bekerjasama yang rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk memajukan litar-litar lumba ini. Sebenarnya amat sesuai untuk kita bangunkan litar lumba ketika ini untuk mengelakkan anak-anak muda kita ini menggunakan jalan raya. Suatu jalan yang tidak sesuai untuk mereka meneruskan minat dalam sukan permotoran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Skop Pembinaan Mini Stadium di Kampung Kolam ini merangkumi pembinaan trek balapan sintetik, sebuah padang bola sepak artificial turf, sebuah mini astaka (berkapasiti 200 orang), lampu limpah, kerja-kerja elektrikal dan mekanikal serta kerja-kerja yang berkaitan.
“Bagi permohonan Pembinaan Litar Lumba Drag di Kuala Rompin pula, pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang terus mengekalkan permohonan ini dalam senarai permohonan Peruntukan Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia Ke- 12, berdasarkan cadangan lokasi baharu pembinaan iaitu di Kampung Selendang, Tioman,” katanya. -PAHANGMEDIA