Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2024 : Tiada rakyat di negeri ini yang tidak menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan dan kebajikan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Johari Hussain berkata kesemua ini dapat dilaksanakan hasil kejayaan Kerajaan Negeri memperoleh peningkatan hasil.
“Saya sangat teruja dan sangat bangga melihat keprihatinan Ke Bawah Duli Paduka Baginda sebagaimana dalam titah DiRaja mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri terhadap pencapaian hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.
“Turut ditekankan agar terdapatnya usaha
berterusan untuk menjana sumber-sumber pendapatan yang baru bagi mewujudan sinergi jangka masa panjang yang lebin dinamik pada masa akan datang dan Kerajaan Negeri telah berbuat sudah habis baik dengan kejayaan kutipan hasil yang tinggi dizahirkan atau dipulangkan balik kepada rakyat melalui insentif dan inisiatif yang pelbagai dalam bentuk bantuan dan kebajikan serta bantuan-bantuan lain kepada rakyat dalam negeri ini.
“Dato’ Sri Menteri Besar Pahang kita telah memperuntukkan ratusan jutaan ringgit bagi penduduk, kalau dalam bahasa kampungnya bukan setakat di daerah-daerah tetapi di atas bukit, banjaran, pendalaman yang terpencil, di hutan, kampung tradisional, di kalangan warga felda, luar bandar, pinggir bandar, anak rantau Pahang, mahasiswa, anak muda, di pulau dan sebagainya semuanya mendapat nikmat dan juga sentuhan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perbahasan Usul Titah DiRaja pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau dalam perbahasan tersebut turut meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan hak pengurusan pulau yang hampir dengan daratan diserahkan ke bawah pengurusan Majlis Daerah Tioman. -PAHANGMEDIA

