Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MEI 2024 : Sebanyak 18 kawasan dalam wilayah FELDA diisytiharkan sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) oleh Kerajaan Pahang dalam memperkasakan FELDA sebagai sebuah penempatan moden yang tersusun.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata inisiatif ini berikutan masalah perumahan khususnya isu penempatan setinggan yang sering dibangkitkan sebagai isu utama oleh generasi baharu FELDA sekaligus memberi kesan langsung kepada iklim politik setempat.
“Penempatan setinggan di kawasan rancangan FELDA in sebenarnya menyalahi peruntukan undang-undang Seksyen 30, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, dan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara (KTN).
“Oleh itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama FELDA telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan FELDA sebagai sebuah penempatan moden yang tersusun melalui pengisytiharan 18 kawasan dalam wilayah FELDA sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) yang diperuntukkan untuk Generasi Baharu Felda Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Haji Long pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa insentif Kerajaan Negeri dalam mempercepatkan proses STR adalah untuk memudahkan usaha pelarasan dan pengambilan tempat dalam STR telah diutarakan kepada semua peneroka dan FELDA di bawah Kerajaan Negeri Pahang.
“Ini adalah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang untuk membantu anak-anak Pahang terutama anak-anak peneroka yang ingin kembali kepada FELDA,” katanya.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mencelah memaklumkan bahawa hampir 1850 unit rumah diluluskan untuk diambil alih oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam 51 cadangan Kerajaan Pusat di bawah FELDA.
Ia bagi menjawab soalan tambahan daripada YB Dato’ Mustapa yang bertanya mengenai inisiatif Kerajaan Negeri terhadap tanah-tanah yang strategik untuk dibangunkan. -PAHANGMEDIA

