Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 4 MEI 2024 : Pada tahun ini, seramai 1,588 Jemaah Haji menerima bantuan Barakah Haji Pahang yang merupakan tanda ingatan ikhlas Kerajaan Negeri kepada mereka.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan ini merupakan bantuan kali kedua buat mereka yang menunaikan haji daripada Negeri Pahang.

“Tahun lepas kita bagi RM500 manakala, tahun ini kita tambah lagi RM350 jadi RM750. Ini adalah sebagai tanda ingatan ikhlas Kerajaan Negeri. Sekurang-kurangnya boleh meringankan bebanan kewangan mereka semasa berada di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Menurutnya, disamping menjadi duit poket sebagai tanda ingatan ikhlas untuk para jemaah, Kerajaan Negeri ada juga menyediakan bekalan makanan yang dipanggil retort ataupun ready to eat seperti daging kurma dan ayam kurma.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menzahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu dan beramah mesra bersama Perantau Anak Pahang yang meluangkan masa untuk hadir dan berkumpul di Rumah Terbuka ini.
Menurutnya, Majlis Rumah Terbuka yang julung kali diadakan ini disambut dengan sangat meriah dan insyaallah akan menjadi acara tahunan untuk Perantau Anak Pahang.

“Ini adalah program ketiga terbesar yang kita buat sejak Penubuhan Perantau Anak Pahang. Yang pertama, Larian Tok Gajah dan yang kedua, Program Penyerahan Baucer (petrol/diesel) untuk anak-anak Pahang yang ingin balik beraya di Pahang,” katanya.
Sementara itu, beliau juga turut memberitahu Kerajaan Negeri sentiasa dalam usaha untuk membantu kebajikan Perantau Anak Pahang dari masa ke semasa.
“Program kebajikan ini memang adalah satu program agenda penting. Kita ada Bantuan Prihatin Pahang untuk para siswa dan siswi, anak-anak Pahang yang ada masalah sakit, uzur dan sebagainya. Itu yang kita akan bantu,” katanya. -PAHANGMEDIA

