Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Afiki Falahi Azhmee Nor Shahrill
TEMERLOH, 04 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menganjurkan program Suri-Tekno : Ke Arah Surirumah Celik Digital bagi memastikan golongan wanita di negeri ini lebih celik teknologi.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, program ini merupakan salah satu inisiatif dalam Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang 2022-2026.
“Program Suri-Tekno ini merupakan program yang diadakan secara tahunan sejak 2022 oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang dan University College of Yayasan Pahang (UCYP).

“Kita ada sepuluh dasar wanita dan program ini memfokuskan kepada golongan surirumah supaya celik tekonologi dan menarik minat golongan wanita untuk celik digital.
“Dan kita menyasarkan 30 orang peserta setiap kali program ini diadakan pada masa akan datang. Bagi kluster teknologi ini kita ada kluster keusahawanan, dan kluster pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Suri-Tekno : Ke Arah Surirumah Celik Digital di Hotel Seri Malaysia Temerloh.
Turut hadir, Naib Canselor UCYP, YH. Profesor Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain; dan Ketua Pegawai Digital UCYP, YBhg. Puan Ts. Suriyani Sulaiman.
Beliau berkata kira-kira 3,000 peserta telah menyertai program di bawah 10 dasar wanita yang telah digariskan sejak 2022. -PAHANGMEDIA

