Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 1 MEI 2024 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang bagi membanteras pencerobohan tanah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan mahkamah berkenaan pencerobohan tanah (oleh pekebun musang king di Raub) baru-baru ini perlu dihormati kerana setiap perkara telah diurai dan diadili secara terperinci dan teliti.
Mengulas berkenaan Ops Sekat yang dilakukan semalam, beliau berkata, ia merupakan satu usaha penguatkuasaan dan sudah pasti tindakan yang diambil adalah mengikut undang-undang.
“Mahkamah telah membuat keputusan jadi kita patut akur… kita perlu ikut keputusan mahkamah. Jadi dua orang yang ditangkap semalam telah melakukan kesalahan, tak mungkin pihak berkuasa dan penguatkuasa nak tangkap sewenang-wenangnya kalau tak lakukan kesalahan.
“Mahkamah pun telah membuat keputusan bahawa mereka (pekebun) adalah penceroboh sebab itu kita boleh ambil tindakan, kawasan berkenaan tidak boleh dimasuki sebab itu sesiapa yang ingkar boleh dikenalam tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang (TERATAI) di sini.
Semalam, Kerajaan Pahang melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya mengesan aktiviti pencerobohan hutan di negeri ini dengan menahan dua pekebun haram musang king dalam Ops Sekat di Sungai Ruan.
Kedua-dua individu berkenaan ditahan kerana disyaki mengusahakan kebun durian Musang King secara haram ketika operasi dijalankan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Benom. -PAHANGMEDIA

