Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN , 28 APRIL 2024 : Menyedari kepentingan tanggungjawab yang dipikul terhadap belia di peringkat nasional mendorong saudara Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid memberi laluan kepada muka baharu untuk mengemudi Majlis Belia Negeri Pahang.
Saudara Saharuddin Ahmad diumum sebagai Presiden Majlis Belia Negeri Pahang yang baharu bagi penggal menggantikan Mohd Izzat yang telah menyandang jawatan berkenaan sejak tahun 2021.
Saudara Mohd Izzat yang ditemui berkata, beliau melihat presiden baru layak memegang jawatan berkenaan di atas kapasiti pengalamannya memegang beberapa jawatan dalam pergerakan belia.
“Saya akan terus bersedia membantu MBNP tidak kira dari apa sudut termasuk nasihat dan pandangan. Apatah lagi saya kini ingin memberi tumpuan penuh kepada jawatan saya sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia.
“Saya berharap presiden baru terus berusaha membangunkan dan memajukan belia terutamanya dalam pengkaderan ahli baru selain memberi fokus kepada bidang ekonomi dan pendidikan termasuk kemahiran untuk anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Pahang Kali Ke-26 Tahun 2023 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Belia Negeri Pahang 2024 di sini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Encik Mua’zamir Jili.
Dalam pada itu, saudara Saharuddin dalam kenyataan turut meyampaikan ucapan penghargaan di atas segala jasa yang telah ditaburkan mantan presiden dan barisan kepimpinan belia penggal lalu yang memberi nilai tambah dan impak tinggi kepada belia di negeri ini.
Menurutnya dengan pasukan yang ada, sudah pasti idea-idea bertenaga dan berkuasa tinggi dapat dipersembahkan untuk membawa MBNP terus bertahan pada masa hadapan.
Katanya lagi, MBNP juga bersedia untuk menyahut seruan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal agar organisasi belia menjalankan kerjasama dan seterusnya menghasilkan tembok kukuh dalam mendepani segala tentangan. -PAHANGMEDIA

