Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN , 28 APRIL 2024 : Cabaran belia pada masa kini cukup besar untuk diharungi dan ia menguji kemampuan serta kekuatan golongan ini dari segala aspek.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, jalinan kerjasama di antara belia mampu menghasilkan tembok kukuh dalam mendepani segala tentangan.
“Bagilah sokongan dan kerjasama erat antara kita supaya hala tuju belia khusunya di negeri Pahang selepas ini lebih kemas dan kukuh. Tidak kiralah siapa pun yang menang (berbanding jawatan belia), kita sudah tiada masa untuk berpecah, tiada ruang untuk bersengketa.
“Cabaran zaman ini cukup besar dan kebetulan dalam ekonomi tidak menentu di seluruh dunia, perang dunia yang hampir tercetus, kita juga turut terkesan khususnya dari sudut ekonomii, jadi belia perlu kuat dan sentiasa bersiap sedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Pahang Kali Ke-26 Tahun 2023 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Belia Negeri Pahang 2024 di sini.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Encik Mua’zamir Jili.
Hadir sama Presiden Majlis Belia Negeri Pahang yang baharu, Encik Saharuddin Ahmad serta mantan presiden penggal sebelum ini, Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Sementara itu YB. Tuan Fadzli berkata Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberi sokongan kepada belia bagi memastikan golongan ini mampu menjadi duta kecil yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Pahang.
“Kerjasama dan permuafakatan antara belia dan Kerajaan Negeri amat penting agar segala dasar dan misi berkaitan belia di negeri ini dapat disampaikan dengan baik, lancar dan berkesan.
“Saya akan adakan pertemuan dengan kepimpinan yang baru dibentuk untuk bincang dan fahamkan tentang hala tuju belia di negeri ini.
Saya ambil kesempatan untuk ucap tahniah dan syabas untuk kepimpinan baru ini dan berharap belia di negeri Pahang tidak ketinggalan dalam mendepani cabaran dan dapat bina kekuatan bersama,” katanya. -PAHANGMEDIA

