Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1.5 juta kepada 1,588 jemaah haji tahun ini melalui bantuan Barakah Haji Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan ini dinaikkan kepada RM 750 seorang pada tahun ini berbanding RM 500 tahun lepas
“Kerajaan Negeri seikhlasnya memberi sumbangan RM750 seorang dan juga makanan ready to eat atau retort.
“Saya berharap mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna, di beri kesihatan yang baik, dan dapat menumpukan sepenuhnya menunaikan ibadah.
“Dan ini merupakan sumbangan tahun kedua kepada para jemaah di mana tahun lepas kita bagi RM500 seorang dan insyaAllah sekiranya keadaan kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik, kita akan tambah lagi. Tapi bukan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Bantuan Haji Negeri Pahang Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 hari ini.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim; dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga akan mencari jalan untuk menambah bentuk bantuan lain untuk diberikan kepada jemaah haji.
“Dan kita akan fikirkan lagi bantuan-bantuan dalam bentuk lain. Contohnya hari ini makanan ready to eat kita ada empat pek dan mungkin kita boleh tambah jadi lima atau enam pek.
“Sebab mereka berada di sana lebih dari sebulan dan sudah pasti ada masa mereka akan merindui makanan dari tanah air,” katanya.
Sebanyak RM112,000 diperuntukkan bagi sumbangan pek makanan yang dikenali sebagai Juadah Makmur Jemaah Haji tahun ini. -PAHANGMEDIA

