Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 7 APRIL 2024 : Pelaksanaan Jualan Makmur di seluruh Pahang merupakan inisiatif oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan dan keperluan asas rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM2 juta subsidi bagi menjayakan Jualan Makmur.
“Jualan Makmur ini ialah insentif atau pun komitmen Kerajaan Negeri sebab kita dapati ramai yang merungut bahawa harga barang naik, harga beras naik, jadi kita buat Jualan Makmur yang melibatkan hampir RM2 juta subsidi oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan 1, Lipis, petang tadi.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara, YB Senator Dato’ Aziz Sitin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, YBrs. Encik Khairul Amril Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Orang Asli Corporations (ORACO), YH. Dato’ Olian Abdullah, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu, seramai 30 penerima telah mendapat cek sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM113,500 bagi pelbagai keperluan termasuklah pendidikan, rawatan perubatan dan pertanian.
Turut disampaikan ialah sumbangan kepada lima petugas dan 24 pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Kasih Jelai.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut memberikan sumbangan kepada 50 penerima di kalangan ketua keluarga peserta Agropolitan Gahai yang menerima wang tunai RM100 dan barangan bernilai RM50.
Turut diberikan ialah insentif perkahwinan kali pertama Orang Asli kepada 97 pasangan Orang Asli yang menerima RM300 bagi setiap pasangan.
Tambah beliau, subsidi pengurangan harga barangan makanan asas melalui Jualan Makmur merupakan usaha Kerajaan Negeri dan bukan inisiatif daripada mana-mana syarikat berkaitan.
“Jadi saya nak jelaskan pada hari ini, tuan-tuan dan puan-puan selepas ini, kalau berhajat hendak pergi beli, pengurangan harga adalah ditanggung oleh Kerajaan Negeri, yang itu kena jelas dan faham betul-betul, ditanggung oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Jualan Makmur telah diadakan serentak di bandar Lipis dan Dewan Terbuka Laman Sejahtera di Sungai Koyan, Lipis dan mendapat sambutan baik di kalangan orang ramai. – PAHANGMEDIA

